" Every child is an artist. The problem is how to remain an artist once we grow up" - Pablo Picasso

8 May 2013

Pembelajaran Konstruktivisme

PEMBELAJARAN KONSTRUKTIVISME


Pembelajaran Konstruktivisme merujuk kepada idea bahawa pelajar membina pengetahuan untuk diri mereka sendiri. Konstruktivisme juga berasaskan pandangan bahawa proses pembelajaran adalah aktif dan dinamik. Sebagai contohnya, seseorang individu akan membina atau konstruk ilmu pengetahuan dengan usaha sendiri dan bukan menguasainya daripada orang lain semasa proses ini berlaku.

Prinsip-prinsip Pembelajaran Konstruktivisme

Terdapat beberapa prinsip pemikiran konstruktivis dalam pembelajaran konstruktivisme :

  1. Pembelajaran adalah satu proses yang aktif di mana pelajar menggunakan input deria dan membina makna daripadanya. Ini bermaksud, pembelajaran bukanlah penerimaan pasif pengetahuan kerana ilmu pengetahuan tidak boleh wujud di luar minda tetapi di bina dalam minda berdasarkan pengalaman sebenar.

  2. Manusia belajar cara belajar kerana mereka belajar. Pembelajaran terdiri membina makna dan membina sistem makna. Sebagai contohnya, jika kita mengenal pasti selang masa dalam jadual waktu dalam matapelajaran matematik, kita akan belajar makna jadual dalam masa yang sama.

  3. Peranan tindakan yang amat penting dalam membina makna adalah mental iaitu berlaku dalam minda. Tindakan fizikal, pengalaman secara hands on sangat diperlukan untuk pembelajaran, terutamanya bagi kanak-kanak. Bagi mengukuhkan lagi pembelajaran, guru-guru perlu menyediakan aktiviti-aktiviti yang melibatkan minda serta fizikal.

  4. Peranan bahasa. Bahasa yang kita gunakan mempengaruhi pembelajaran.

  5. Pembelajaran adalah aktiviti sosial, dimana pembelajaran kita berkait rapat hubungan kita dengan manusia yang lain, guru-guru, rakan-rakan dan keluarga.

  6. Motivasi adalah satu komponen paling penting dalam pembelajaran. Idea motivasi ini diilhamkan untuk merangkumi pemahaman cara di mana pengetahuan yang boleh digunakan.

Kesimpulannya, pembelajaran konstruktivisme amat menekankan pembelajaran aktif dan dinamik serta murid-murid akan berusaha sendiri untuk apa yang mereka ingin belajar berdasarkan refleksi pengetahuan sedia ada dengan persekitaran baharu pembelajaran.

Pembelajaran Masteri

PEMBELAJARAN MASTERI


Pembelajaran masteri ialah suatu pendekatan pengajaran dan pembelajaran untuk memastikan semua murid menguasai hasil pembelajaran yang dihasratkan dalam satu unit pembelajaran sebelum berpindah ke satu unit pembelajaran yang seterusnya. Pendekatan ini memerlukan masa yang mencukupi dan proses pengajaran dan pembelajaran yang berkualiti.

Menurut Bloom 1968,

Pembelajaran masteri ialah "pendekatan pengajaran dan pembelajaran yang berfokuskan penguasaan murid dalam sesuatu perkara yang diajar" . Pendekatan ini berasaskan kepada falsafah bahawa semua atau hampir semua murid boleh menguasai sesuatu pengetahuan atau kemahiran dengan baik dan penuh keyakinan sekiranya keadaan yang sesuai dan masa yang mencukupi disediakan untuk murid itu menguasai pembelajarannya.


Menurut Anderson & Block 1975,

Pembelajaran masteri ialah "satu set idea dan amalan pengajaran secara individu yang dapat membantu murid untuk belajar secara konsisten". Idea dan amalan ini menghasilkan pengajaran yang sistematik, membantu murid apabila menghadapi masalah pembelajaran, memperuntukkan masa yang mencukupi untuk murid mencapai masteri dengan berpandukan kriteria masteri yang jelas.

Pembelajaran masteri ini dijalankan kerana :
  • Murid mempunyai kebolehan dan keperluan yang berbeza.
  • Murid memerlukan pendekatan pengajaran dan pembelajaran yang sesuai dan berkesan.
  • Murid mesti menguasai pengetahuan, kemahiran dan sikap yang diajarkan.

Aras Taxonomy

Aras Taksonomi

Taksonomi Bloom diperkenalkan oleh Benjamin Bloom pada tahun 1956. Taksonomi Bloom mengkategorikan kemahiran dan objektif yang ingin dicapai oleh pelajar kepada 3 domain iaitu :

  1. Domain Kognitif
    Digunakan untuk mengukur kemahiran intelektual.
  2. Domain Afektif
    Digunakan untuk mengukur generik, yang telah diterapkan kepada pelajar melalui penglibatan pelajar dalam persatuan-persatuan dan juga perbincangan secara berkumpulan .
  3. Domain Psikomotor
    Bertujuan mengukur kemahiran praktikal dan teknikal.
    Kemahiran ini diterapkan melalui proses latihan industri, ujikaji makmal dan lawatan teknikal.

6 Aras Taksonomi

  1. Pengetahuan ( Knowledge )
    Mengingat kembali, mengenal idea, fakta asas, definisi teori, dan lain-lain pembelajaran yang lepas.
    Contohnya : Nyatakan, terangkan, namakan, labelkan.
  2. Pemahaman ( Comprehension )
    Mengubah kefahaman daripada satu bentuk kepada bentuk yang lain, menyatakan idea-idea utama dalam ayat sendiri dan memberi contoh kepada konsep.
    Contohnya : Pilih, terangkan, tulis semula.
  3. Aplikasi ( Aplication )
    Menggunakan maklumat dalam situasi yang baru, termasuk menyelesaikan masalah menggunakan prinsip, kaedah, teori dan formula.
    Contohnya : Selesaikan, carikan, ramalkan, dan cari kesilapan.
  4. Analisis ( Analysis )
    Memecahkan sesuatu yang kompleks kepada yang kecil, membezakan fakta daripada pendapat dan kenali struktur organisasi.
    Contohnya : Bezakan, pastikan dan pilih.
  5. Sintesis ( Synthesis )
    Menyepadu, mencantum idea menjadi satu, menyelesaikan masalah dan membuat klasifikasi.
    Contohnya : Bina, hasilkan, susun dan kembangkan.
  6. Penilaian ( Evaluation )
    Membuat pertimbangan termasuk memberi rasional atas alasan dalaman atau luaran, mentafsir dan mengkritik.
    Contohnya : Pilih, berikan alasan, kritikan dan buktikan.

Laporan Pemerhatian Di Sekolah

LAPORAN PEMERHATIAN PENDIDIKAN SENI


Tempat          : Sekolah Kebangsaan Gunung Panjang

Tarikh           : 10 April ( Rabu )

Masa             : 10.50 pagi - 11.50 pagi

Nama Guru  : En. Johari

Saya Farah Syazwani Bt Sabri ( JEC 120003 ) telah pergi ke Sekolah Kebangsaan Gunung Panjang pada 10 April 2013 ( Rabu ) untuk membuat pemerhatian guru seni di Sk Gunung Panjang, Gopeng Perak. Saya telah diberi kebenaran oleh guru pendidikan seni tersebut iaitu Cikgu Johari. Beliau merupakan bekas guru pendidikan seni saya semasa saya bersekolah di sana. Saya diberi kebenaran untuk membuat pemerhatian di kelas murid Tahun 4. Justeru, ini merupakan laporan pemerhatian di dalam kelas Tahun 4. Rancangan pembelajaran pada waktu tersebut ialah mereka corak pelbagai dengan menggunakan teknik capan. Di sini saya nyatakan kaedah, strategi, teknik dan pendekatan yang digunakan oleh Cikgu Johari iaitu Guru Pendidikan Seni Sk Gunung Panjang.

KAEDAH PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN
  1. Kaedah Terus
    Cikgu Johari menggunakan kaedah terus melalui pengalaman sedia ada beliau.
    Sebagai contoh, beliau menanyakan terus kepada murid-murid mengenai corak yang boleh digunakan semasa membuat capan.
  2. Kaedah Tunjuk Cara
    Cikgu Johari membuat demonstrasi cara-cara untuk menghasilkan corak yang pelbagai dengan menggunakan teknik capan dan semua murid melakukan perkara yang sama.

STRATEGI PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN

Cikgu Johari menggunakan strategi SMART iaitu :
  • S - Specific
    Cikgu Johari mempunyai matlamat yang khusus dan jelas iaitu mengajar murid mereka pelbagai corak dengan menggunakan teknik capan dan menggunakan bahan seperti ubi kentang serta batang pisang.
  • M - Measureable
    Tahap pengetahuan dan pemahaman murid dapat dilihat melalui kreativiti murid mereka pelbagai corak. Ini membuktikan pengajaran Cikgu Johari dapat difahami oleh tahap murid Tahun 4.
  • A  Attainable
    Buktinya, murid dapat mereka corak yang kreatif dan dapat menyiapkannya dalam masa yang ditetapkan.
  • R - Relevant
    Tugasan mereka corak dengan menggunakan teknik ini munasabah kerana membuatkan murid berfikir secara kreatif dan kritis.
  • T - Time Bound
    Masa yang diberikan dapat dipenuhi dengan sebaiknya dan tugasan yang diberikan kepada murid dapat disiapkan tepat pada masanya.

TEKNIK PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN
  1. Teknik Soal Jawab
    Cikgu Johari mengemukakan soalan berkaitan teknik capan dan jenis corak yang sesuai serta kreatif kepada murid-murid.
  2. Teknik Tunjuk Cara
    Cikgu Johari menggunakan teknik tunjuk cara dengan membuat demonstrasi awal membuat corak menggunakan teknik capan dengan batang pisang dan ubi kentang.

PENDEKATAN PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN
  • Pendekatan berpusatkan pelajar ( student centered ) 

    Cikgu Johari membenarkan murid-muridnya memberi pendapat dan cadangan semasa mereka jenis corak untuk digunakan dalam teknik capan.

     
  • Pendekatan berpusatkan bahan ( tool centered )

    Cikgu Johari menggunakan alatan seperti video untuk menunjukkan cara-cara mereka dan membuat corak dengan menggunakan teknik capan.

     
  • Pendekatan Induktif

    Murid-murid didedahkan secara asas sahaja berkenaan dengan capan dan barulah Cikgu Johari menerangkan dari mula hingga ke akhir proses mereka pelbagai corak menggunakan teknik capan dengan batang pisang dan ubi kentang.
  • Pendekatan Inkuiri

    Cikgu Johari memberitahu asas teknik capan kepada murid untuk menghasilkan sikap inkuiri pelajar terhadap teknik capan untuk menghasilkan corak yang pelbagai.

Kesimpulannya, tugasan yang diberikan oleh Dr.Zuraidah Pensyarah Kursus Pendidikan dan Pengajaran Seni ini, banyak memberi pendedahan kepada saya berkaitan dengan  suasana di dalam kelas. Saya dapat merasakan suasana semasa berada di dalam kelas bukan sebagai murid tetapi sebagai seorang bakal guru. Melalui pemerhatian saya, Cikgu Johari dapat mengawal keadaan murid di dalam kelas walaupun kadang kala kelas tersebut bising kerana kepetahan muridnya berbicara. Pengalaman saya semasa membuat pemerhatian ini amat berharga dan tidak dapat diperoleh dimana sekalipun. Saya berharap agar saya dapat mengaplikasikan pengalaman ini dengan pengetahuan yang ada pada saya pada masa kan datang dan berjaya menjadi seorang pendidik. InshaAllah. 

Rancangan Pengajaran Harian Saya

RANCANGAN PENGAJARAN HARIAN

PENDIDIKAN SENI VISUAL

Matapelajaran      : Pendidikan Seni Visual

Tahun                     : Tahun 4

Tarikh                    : 20.04.2013

Bil Murid               : 26 Orang

Masa                       : 10.50 pagi - 11.50 pagi

Bidang Kegiatan    : Membuat corak dan rekaan

Aktiviti                   : Capan

Tajuk                      : Corak Bunga

Masa                       : 1 jam


Objektif Pengajaran

  • Guru dapat mengajar murid membuat corak dan rekaan dengan menggunakan teknik capan.

Hasil Pembelajaran

Pada akhir pembelajaran murid dapat :
  • Mengenali teknik capan bagi menghasilkan corak dan rekaan.
     
  • Mengenal pasti cara-cara menghasilkan corak dan rekaan berbentuk bunga dengan menggunakan teknik capan.
     
  • Menghasilkan corak dan rekaan berbentuk bunga dengan menggunakan teknik capan.

Keperluan

Alat      : Pisau lipat.

Bahan  : Kertas lukisan, warna air, berus lukisan, batang pisang, dan ubi kentang.


Rujukan

Huraian Sukatan Pelajaran Pendidikan Seni Visual Kurikulum Bersepadu Sekolah Rendah ( KBSR ).


Prosedur
  1. Guru menentukan aras pembelajaran supaya sesuai dengan tahap murid.
  2. Guru merancang strategi pengajaran dengan teratur supaya proses pengajaran dan pembelajaran berjalan dengan lancar dengan menerapkan kemahiran berfikir secara kritis dan kreatif.

  3. Memulakan proses pengajaran dan pembelajaran dengan set induksi.
  4. Mempamerkan contoh hasil kerja yang telah siap.
  5. Guru memberi penerangan kepada murid cara-cara untuk menghasilkan corak dan rekaan bunga dengan menggunakan teknik capan.
     
  6. Memberi bimbingan kepada murid dalam menyiapkan hasil corak dan rekaan bunga dengan menggunakan teknik capan.
     
  7.  Apresiasi dan refleksi.
     
  8.  Penutup.


Rancangan Pengajaran

SET INDUKSI ( 5 Minit )
  • Guru memberi penerangan berkaitan teknik capan.
  • Guru mengaitkan aktiviti mereka corak bunga dengan menggunakan teknik capan.
  • Guru bersoal jawab dengan murid berkenaan dengan corak capan dan warna yang akan digunakan.

AKTIVITI 1 ( 5 Minit )
  • Guru menerangkan aktiviti yang akan dilakukan iaitu mereka corak bunga dengan menggunakan teknik capan serta menunjukkan contoh yang sudah siap.
  • Guru menerangkan alat dan bahan yang diperlukan untuk menjalankan aktiviti ini.

AKTIVITI 2 ( 20 Minit )
  • Guru memberi tunjuk ajar cara untuk melakukan corak bungan dengan menggunakan teknik capan.
  • Guru membimbing murid menyiapkan corak bunga dengan menggunakan teknik capan dan menekankan aspek keselamatan semasa aktiviti dijalankan.

AKTIVITI 3 ( 20 Minit )
  • Guru membimbing murid untuk menyiapkan corak bunga dengan menggunakan teknik capan.

SESI APRESIASI DAN REFLEKSI ( 5 Minit )
  • Murid mempamerkan hasil kerja mereka.
  • Sesi apresiasi dan refleksi hasil kerja yang dihasilkan oleh murid mengikut :

    1. Baik
    2. Sederhana
    3. Kurang mencapai tahap
     
PENUTUP
  • Guru mengutip semua hasil kerja murid dan memuji murid.






7 May 2013

Strategi Pengajaran Dan Pembelajaran

Strategi

Strategi merupakan suatu susunan pendekatan dan kaedah untuk mencapai suatu matlamat dengan menggunakan tenaga, masa serta kemudahan secara optimum. Dalam proses pengajaran, penggabungan beberapa pendekatan serta kaedah tertentu kadangkala perlu untuk mencapai objektif pengajaran. Dalam pengajaran PSV guru-guru perlu bijak menggunakan strategi pengajaran dan pembelajaran untuk menarik minat pelajar.

Konsep strategi paling mudah adalah berikut :

S - Specific

M - Measureable

A - Attainable

R - Relevant

T - Time

Specific - Setiap pembelajaran atau subjek yang diajar oleh guru haruslah mempunyai matlamat spesifik supaya sesi pembelajaran berjalan dengan lancar.

Measureable - Sesuatu pembelajaran itu harus ada ukuran mengikut tahap murid. Guru perlu mengajar subjek mengikut kebolehan dan tahap murid tersebut supaya dapat difahami dengan mudah oleh pelajar.

Attainable - Sesuatu pembelajaran itu hendaklah dapat dicapai oleh murid. Pembelajaran dapat dicapai oleh pelajar melalui strategi, pendekatan, teknik dan kaedah pengajaran dan pembelajaran.

Relevant - Sesuatu pembelajaran itu haruslah relevan dan diajar mengikut turutan yang umum kepada yang khusus, yang mudah kepada kompleks dan sebagainya. Tujuannya supaya murid dapat mempelajarinya secara berperingkat dan mudah memahaminya.

Time -Sesuatu pembelajaran itu harus mempunyai masa yang cukup untuk menyampaikan pengajaran tersebut. Kaedah, teknik, pendekatan dan strategi amat penting bagi menyampaikan pengajaran dan pembelajaran mengikut masa yang telah ditetapkan.




Teknik Pengajaran Dan Pembelajaran

Teknik

Kemahiran atau perkara-perkara khusus yang terdapat dalam sesuatu kaedah. Matlamat kaedah tidak akan tercapai sekiranya guru-guru tidak menguasai teknik-teknik pengajaran dan pembelajaran.

Berikut adalah teknik-teknik pengajaran dan pembelajaran :

  • Teknik Main Peranan
  • Teknik Latih Tubi
  • Teknik Bercerita
  • Teknik Inkuiri
  • Teknik Perbahasan
  • Teknik Permainan Bahasa
  • Teknik Kuiz
  • Teknik Sumbangsaran
  • Teknik Soal Jawab
  • Teknik Simulasi
  • Teknik Drama
  • Teknik Perbincangan
Sebagai contohnya, teknik perbincangan. Teknik ini berbentuk perbualan dan dilakukan dalam kalangan pelajar di bawah penyeliaan dan kawalan guru.

Bagi teknik soal jawab pula, teknik ini kerap digunakan oleh guru. Teknik ini digunakan bagi mewujudkan interaksi antara guru dan pelajar. Setiap soalan yang ditanya mempunyai aras kesukaran yang tertentu.

Kaedah Pengajaran Dan Pembelajaran

Kaedah

Kaedah, menurut kamus dewan kaedah bermaksud cara atau aturan ( membuat sesuatu ), hukum atau prinsip. Kaedah juga boleh ditafsirkan sebagai siri tindakan yang sistematik dan tersusun untuk mencapai sesuatu matlamat.

Berikut adalah kaedah-kaedah pengajaran dan pembelajaran :

  • Kaedah Terus
  • Kaedah Semulajadi
  • Kaedah Askar atau Tentera
  • Kaedah Ajuk - Hafaz
  • Kaedah Linguistik
  • Kaedah Oral - Aural
  • Kaedah Terjemahan
  • Kaedah Psikologi
  • Kaedah Kod - Kognitif
  • Kaedah Khusus

Pendekatan Pengajaran Dan Pembelajaran

Pendekatan

Pendekatan bermaksud arah atau hala menuju sesuatu sasaran yang digunakan bagi memulakan proses pengajaran.

Pendekatan pengajaran dan pembelajaran terbahagi kepada berikut :

  • Pengajaran berpusatkan guru ( Teacher Centered ).
  • Pengajaran berpusatkan pelajar ( Student Centered ).
  • Pengajaran berpusatkan bahan ( Tool Centered ).
  • Induktif
  • Deduktif
  • Inkuiri
  • Masteri


Pengajaran Berpusatkan Guru ( Teacher Centered )


Kaedah ini merupakan satu pendekatan pengajaran yang aktiviti kelasnya tertumpu hanya kepada guru. Pelajaran berpusatkan guru amnyn dikaitkan dengan pendekatan tradisional kepada pembelajaran bahasa.

Ciri-ciri pendekatan ini ialah :

  • Guru memainkan peranan penting.
  • Komunikasi sehala - guru lebih banyak bercakap.
  • Penyampaian fakta secara menghafal, pembelajaran adalah berbentuk mengingat isi pembelajaran.
Contoh : Demonstrasi, soal jawab, dan bercerita.



Pengajaran Berpusatkan Pelajar ( Student Centered )

Pelajar berpeluang untuk memberi pendapat dan idea berkenaan dengan topik pembelajaran. Pendekatan ini lebih berkesan kerana pelajar dapat menyampaikan apa yang ada di dalam fikiran mereka.

Contoh : Lawatan, kerja berkumpulan, penyelesaian masalah, simulasi dan lain-lain.



Pengajaran Berpusatkan Bahan ( Tool Centered )

Pendekatan ini memerlukan kreativiti dan inovasi guru dalam pendidikan dan pembelajaran untuk menarik minat pelajar. Pendekatan ini mengutamakan kecekapan dan kemahiran murid dalam memanipulasi pelbagai jenis bahan.

Contoh : Penggunaan video, komputer, LCD, pembesar suara dan lain-lain.



Pendekatan Cara Induktif

Pendekatan ini merupakan satu proses penaakulan yang tinggi di mana pelajar tidak diajar sesuatu bahan tersebut secara langsung tetapi hanya diberitahu berhubung dengan hal-hal berkaitan dengan pelajaran tersebut. Pendekatan induktif bermula dengan contoh-contoh seperti :
  • Kajian
  • Pemerhatian
  • Analisis
  • Generalisasi


Pendekatan Cara Deduktif

Pendekatan yang mengajar murid kepada hukum-hukum tertentu dengan mengaplikasikan peraturan-peraturan yang telah diberikan untuk menuju ke sesuatu fakta. Deduktif dimulakan dengan memberikan teori, hukum, fakta, konsep dan diakhiri dengan contoh-contoh.



Pendekatan Cara Inkuiri

Pendekatan ini memerlukan pelajar menjalankan penyelidikan tentang masalah yang hendak diselidiki. Guru akan membimbing pelajar untuk mengutarakan soalan yang jawapannya boleh diperoleh melalui aktiviti yang telah dirancang sebelumnya.


Pendekatan Cara Masteri

Pendekatan masteri - ujian diagnos dijalankan untuk memastikan pelajar menguasai sepenuhnya isi pembelajaran, kemahiran atau sikap yang dinyatakan dalam objektif.



31 Mar 2013

Objektif Kurikulum Seni Visual

Pada kuliah minggu ke-6 ini, kami didedahkan dengan objektif Kurikulum Seni Visual. Terdapat 10 objektif bagi kurikulum. Setelah mengikuti Kurikulum Seni Visual sekolah rendah, murid-murid dapat :

  • Menghargai keindahan alam ciptaan Tuhan.

  • Melibatkan diri dalam kegiatan seni visual secara aktif, kritis, kreatif dan menyeronokkan.
     
  • Menajamkan daya imaginasi melalui pancaindera.
     
  • Mengenali asas seni reka dan olahanserta dapat menggunakannya.
     
  • Mengembangkan kemahiran asas dalam pelbagai kegiatan seni visual.
     
  • Membiasakan diri membuat rekaan seni dengan teratur, cermat dan selamat.
     
  • Memupuk nilai-nilai kerjasama, yakin diri, disiplin diri, dan bertanggungjawab.
     
  • Mengenal dan menghargai tokoh seni dan budaya tanah air.
     
  • Menggunakan kemudahan teknologi dalam kegiatan penghasilan seni visual.
     
  • Melibatkan diri dalam kegiatan seni visual sebagai aktiviti kesenggangan yang berfaedah.

Melalui pengenalan objektif tersebut, saya dapat memahami tugas-tugas sebagai guru pendidikan seni amat memerlukan penelitian. Hal ini demikian, seorang guru harus memastikan kurikulum tersebut dapat dicapai, menyeronokkan dan disamping itu, keselamatan murid-murid terjamin. :)

Menghargai keindahan alam ciptaan Tuhan 

Daya imaginasi 

30 Mar 2013

Pendekatan Kurikulum

Kuliah yang seterusnya, kami didedahkan dengan Pendekatan Kurikulum yang iaitu Behavioral Learning, Cognitive Learning, dan Humanistic Learning. Ketiga-tiga ini adalah Major Learning Theories.

Major Learning Theories

  1. Behavioral Learning
    Teori Pembelajaran Behavioral adalah berdasarkan satu proses perubahan terhadap tingkah laku manusia yang dipengaruhi oleh pengalaman. Behaviorisme menekankan perhatian kepada aspek tingkah laku manusia yang boleh dinilai dan diukur. Walaupun tidak dapat dibaca oleh fikiran manusia, tetapi dapat digambarkan melalui tingkah laku secara zahiriah. Antara tokoh-tokoh popular bagi teori ini ialah Skinner, Watson, Pavlov dan Thorndike.

  2. Cognitive Development Learning
    Teori Pembelajaran Kognitif adalah pembelajaran yang berlaku secara berperingkat iaitu deria manusia menerima rangsangan dari luar. Menurut R.M Gagne, maklumat ditafsirkan dalam stor ingatan kemudian dihantar kepada stor ingatan jangka panjang dan akhirnya kepada penggerak tindak balas melalui sistem saraf.

  3. Humanistic Learning
    Menurut Abraham Maslow, toeri humanistik mementingkan kesediaan moral dan potensi pelajar. Teori ini juga memfokuskan kepada perkara-perkara yang berkaitan secara langsung dengan individu, keunikan diri sendiri bagi seseorang individu dan juga kepentingan kemanusiaan terhadap individu.

29 Mar 2013

Falsafah Pendidikan Kebangsaan dan cabang Falsafah?

Kuliah diteruskan dengan topik  Asas Kurikulum iaitu Falsafah. Falsafah dapat memberi kita framework bagi menguruskan sekolah, kelas dan menjawab persoalan. Falsafah jugak dapat menetapkan matlamat dan membuat keputusan membina kurikulum. Kami juga didedahkan dengan pelbagai bidang falsafah iaitu :

  1. Falsafah Metafizik / Ontologi
  2. Falsafah Epistimologi
  3. Falsafah Aksiologi
  4. Falsafah Logik
Kami juga diberikan beberapa soalan untuk digali dan dikupas supaya mendapat hasil jawapan bagi soalan berikut.

SOALAN 1

  1. Bagaimanakah cabang falsafah ini berkaitan dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan ( FPK )?

    Falsafah Metafizik

    Dari aspek metafizik, dapat dihuraikan sebagai falsafah yang berkaitan dengan sifat realiti. falsafah ini juga bersifat spekulatif iaitu terdapat ( sebab-akibat ). Selain itu, falsafah metafizik adalah berkaitan dengan matlamat pendidikan, pemilihan kandungan dan matlamat yang sesuai. Dapat disimpulkan cabang falsafah ini berkaitan dengan FPK melalui tujuan pendidikan tinggi yang bukan hanya setakat memperoleh segulung ijazah atau diploma tetapi secara realitinya dapat melahirkan modal insan yang berpendidikan dan seimbang dari segi jasmani, emosi, rohani, intelek dan sahsiah ( JERIS ).


    Falsafah EpistimologiFalsafah ini adalah berkaitan dengan sifat semula jadi ilmu. Falsafah ini juga memberikan rasional untuk memilih bahan yang layak untuk diajarkan dan dipelajari lalu mencadangkan cara maklumat harus diajarkan. Dapat disimpulkan bahawa, cabang falsafah epistimologi berkaitan dengan FPK melalui sistem pendidikan negara sendiri iaitu mengungkapkan secara jelas prinsip atau cara yang mendasari dan membentuk sistem pendidikan Malaysia daripada peringkat paling rendah hingga ke peringkat tertinggi iaitu universiti.


    Falsafah AksiologiCabang falsafah aksiologi ini berhubung kait dengan nilai seperti etika dan agama. Aksiologi juga berhubung kait dengan pengajaran nilai moral dan perkembangan sahsiah serta tentang sifat kelakuan yang betul. Aksiologi ini berkaitan dengan FPK melalui falsafah tentang manusia yang berasaskan kepercayaan kepada Tuhan dan agama iaitu membangunkan semua aspek JERIS dalam diri manusia. Selain itu, nilai ilmu iaitu berperanan mengubah dan membentuk diri serta masyarakat yang berilmu dan seimbang dari segi JERIS.

21 Mar 2013

Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013 - 2025

Kuliah Minggu Ke-5

Permulaan kuliah pada minggu ini iaitu hari Rabu / 20.03.2013, Dr. Zuraidah memperkenalkan kepada kami 11 fokus anjakan utama dalam Pelan Pembangunan Pendidikan ( PPP ) yang akan dilaksanakan dalam tempoh 13 tahun dan menerusi 3 fasa :

  1. Fasa pertama membabitkan penyediaan Pelan Pembangunan Pendidikan, dimana keperluan guru diberikan penekanan serta pelajar akan diberikan tumpuan dalam pembangunan kemahiran asas mereka.
  2. Fasa kedua, rancangan pelaksanaannya akan dilakukan berasaskan perkembangan dan pencapaian semasa.
  3. Fasa ketiga pula bermula dari tahun 2020 hingga tahun 2025 iaitu kuasa autonomi membabitkan pentadbiran sekolah akan diberikan.

11 Anjakan Dalam Mentransformasikan Sistem adalah :

  1. Menyediakan Kesamarataan Akses Kepada Pendidikan Berkualiti Bertaraf Antarabangsa.
  2. Memastikan Setiap Murid Profisien Dalam Bahasa Malaysia dan Bahasa Inggeris.
  3. Melahirkan Rakyat Malaysia Dengan Penghayatan Nilai.
  4. Transformasi Keguruan Sebagai Profesion Pilihan.
  5. Memastikan Kepimpinan Berprestasi Tinggi Di Tempatkan Setiap Sekolah.
  6. Mengupaya JPN, PPD dan Sekolah Untuk Menyediakan Penyelesaian Khusus Berasaskan Keperluan.
  7. Memanfaatkan ICT Bagi Meningkatkan Kualiti Pembelajaran Di Malaysia.
  8. Mentransformasi Kebolehupayaan dan Kapasiti Penyampaian Kementerian.
  9. Bekerjasama dengan Ibu Bapa, Komuniti dan Sektor Swasta Secara Meluas.
  10. Memaksimumkan Keberhasilan Murid Bagi Setiap Ringgit.
  11. Meningkatkan Ketelusan Untuk Akauntabiliti Awam Secara Langsung.

Berikut adalah 11 fokus anjakan dalam Pelan Pembangunan Pendidikan di Malaysia dari Tahun 2013 hingga 2025.

Pendidikan Dan Pengajaran Seni

PENGENALAN

Pengenalan kursus JFEA 3314 Pendidikan dan Pengajaran seni. Kursus ini dikuliahkan oleh Dr.Zuraidah Abdullah bersama dengan Dr. Lawrence Ross.

PRO FORMA KURSUS


This course provides students with a background in arts pedagogy as preparation for teaching arts subjects in primary and secondary school setting, with a focus on Malay visual and performing arts. It explores theoretical models that define teaching and learning processes, goals and objectives of Malaysia's national education philosophy, and current art curriculums.

Sebagai seorang pelajar dan bakal guru pendidikan seni, pendekatan menulis blog ini serba sedikit memberi satu kemahiran baru kepada saya. Pendekatan ini memudahkan saya untuk mengutarakan refleksi berkaitan kuliah yang telah dipelajari dan dapat menjadi sumber rujukan kepada pelajar mahupun bakal-bakal guru Pendidikan Seni. 


Setakat ini sahaja pengenalan berkaitan dengan Kursus Pendidikan dan Pengajaran Seni. :)

Sebelum mengakhiri coretan saya pada waktu dan jam ini, saya ingin memperkenalkan diri saya.

FARAH SYAZWANI BINTI SABRI
JEC 120003
JABATAN SOSIOBUDAYA MELAYU
AKADEMI PENGAJIAN MELAYU
SEMESTER 2 SESI 2012/2013